CHOONG Hann harap Tze Yong dapat membawa aura positif daripada Terbuka Singapura apabila beraksi di Sukan Komanwel. FOTO AZHAR RAMLI
CHOONG Hann harap Tze Yong dapat membawa aura positif daripada Terbuka Singapura apabila beraksi di Sukan Komanwel. FOTO AZHAR RAMLI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mahu pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila bakal membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel Birmingham bermula 28 Julai sehingga 8 Ogos depan.

Jelas Choong Hann, prestasi Tze Yong yang mengejutkan beberapa pemain pilihan dalam laluannya mara sehingga ke suku akhir di Terbuka Singapura membuktikan bahawa pemain itu mempunyai keupayaan untuk menewaskan sesiapa sahaja.

"Saya harap dia dapat membawa aura positif daripada Terbuka Singapura apabila beraksi di Sukan Komanwel nanti.

"Saya tahu cabaran tidak mudah untuk Tze Yong di Sukan Komanwel nanti apabila mungkin bertemu pemain utama seperti dua pemain India, Lakshya Sen dan K Srikanth selain Loh Kean Yew (juara dunia dari Singapura).

"Sudah pasti masih ada jurang antara Tze Yong dengan mereka. Tapi saya berharap dia akan menunjukkan kemahuan dan semangat juang yang tinggi untuk sekurang-kurangnya memberikan persaingan yang sengit kepada kelompok pemain utama dunia itu," kata Choong Hann.

Tze Yong yang ketika ini menduduki ranking ke-47 dunia, mempamer aksi meyakinkan di Terbuka Singapura apabila menewaskan jaguh Hong Kong di ranking ke-12 dunia, Ng Ka Long pada pusingan pertama.

Dia kemudian menewaskan rakan senegara Ka Long, Lee Cheuk Yiu yang menduduki ranking ke-15 dunia pada pusingan kedua sebelum rebah di suku akhir kepada pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Nama Tze Yong dipilih untuk beraksi di Birmingham selepas pemain perseorangan profesional utama negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada menyertai temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Zii Jia berbuat demikian kerana mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun yang bakal berlangsung dari 22 hingga 28 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:52 PM