AARON (kiri) tetap percaya masanya akan tiba untuk dia serta Wooi Yik memenangi gelaran sulung. FOTO AFP
AARON (kiri) tetap percaya masanya akan tiba untuk dia serta Wooi Yik memenangi gelaran sulung. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Gagal sekali lagi untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tumpas pada final Terbuka China semalam, tidak melemahkan semangat beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pasangan negara itu tumpas mudah di tangan pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam aksi 26 minit yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Bagaimanapun, aksi longlai beregu negara itu adalah kerana Wooi Yik mengalami demam panas malam sebelum perlawanan itu sekali gus menyaksikannya beraksi di bawah tahap sebenar.

Aaron bagaimanapun tetap percaya di sebalik tewas di tangan lawan yang menduduki ranking ketiga dunia itu, masanya akan tiba untuk dia serta Wooi Yik memenangi gelaran sulung Jelajah Dunia BWF.

"Mereka mungkin menewaskan kami tetapi sebenarnya kami tewas kepada diri sendiri. Kami sendiri melakukan banyak kesilapan. Sudah tentu ini adalah peluang terbaik untuk kami kerana masih dahagakan kejuaraan kali pertama.

"Sudah beberapa kali kami dapat melangkah ke final tetapi masih tidak dapat meraihnya (gelaran sulung) lagi. Tapi kami tahu satu hari nanti kami akan dapat melakukannya dan belum masanya sekarang.

"Kami masih berada pada prestasi terbaik dan sekarang mula fokus kepada persediaan untuk menghadapi Terbuka Hong Kong pula," kata Aaron kepada BWF.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan kali kelima Aaron-Wooi Yik daripada enam pertemuan di tangan pasangan China itu yang turut mengecewakan mereka pada final Terbuka India, Januari lalu.

Pada Terbuka Hong Kong bermula esok, Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking keenam dunia akan menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 11:18 AM