LEGENDA badminton Denmark, Peter Gade. FOTO NSTP
LEGENDA badminton Denmark, Peter Gade. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Legenda badminton Denmark, Peter Gade memilih pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik sebagai pilihan untuk memenangi Terbuka Jerman 2023 yang membuka tirainya hari ini

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, sekiranya juara dunia 2022 itu berjaya menamatkan kemarau gelaran jelajah BWF di Jerman, beliau percaya ia akan menjadi tonik terbaik untuk mereka menjelang kejohanan All England yang bermula 14 hingga 19 Mac ini.

"Saya tidak sangsi mereka (Aaron-Wooi Yik) antara pilihan untuk menjuarai Terbuka Jerman dan berharap mereka akan menamatkan kemarau kejuaraan jelajah BWF.

"Bagi saya ia satu yang mengecewakan kalau pasangan ini tidak berjaya mara ke final (Terbuka Jerman). Kejohanan ini adalah yang terbaik sebagai persiapan mereka menjelang All England.

"Saya tahu ia bukan mudah tetapi ini adalah platform terbaik buat mereka untuk membina keyakinan selepas aksi yang tidak menentu dalam beberapa kejohanan sebelum ini," katanya.

Pada kejohanan Terbuka Jerman, Aaron-Wooi Yik bakal memulakan saingan bertemu pasangan Jepun Akira Koga-Taichi Saito di pusingan kedua selepas mendapat Bye di pusingan pertama.

Akira-Taichi pula mara selepas pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri selepas terpalit masalah kecederaan.

Selain Aaron-Wooi Yik, dua lagi beregu profesional turut akan bersaing di kejohanan bertaraf S300 itu ialah gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang akan bertemu Lee Fang-chih-Lee Yang manakala Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong dijadual menentang pasangan Scotland Adam Hall-Alexander Dunn.

Untuk rekod, pada Terbuka Jerman tahun lepas, acara beregu lelaki dimenangi pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang menewaskan gandingan China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:57 PM