AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Jepun semalam. FOTO badmintonphoto
AKSI Aaron dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Jepun semalam. FOTO badmintonphoto
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ada rasa tidak puas hati ditunjukkan beregu utama negara, Soh Wooi Yik bersama pasangannya Aaron Chia selepas tersingkir seawal pusingan kedua Terbuka Korea, semalam.

Gandingan negara yang menduduki ranking keempat dunia itu terpaksa akur tewas 21-19, 18-21, 19-21 di tangan pasangan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu.

Namun di sebalik itu, Wooi Yik mempertikaikan kualiti penjaga servis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dilihat tidak menjalankan tugas mereka dengan baik.

Dalam perlawanan berkenaan, Aaron-Wooi Yik beberapa kali melakukan bantahan kepada pengadil termasuklah selepas tamat permainan.

Mereka mendakwa, gandingan Jepun itu seringkali melakukan kesalahan ketika membuat pukulan servis.

"@bwf.offical sila nilai semula tahap dan standard penjaga servis anda. Adakah ia adil? Nampak sangat dia menentang Malaysia," tulis Wooi Yik di Instastory miliknya.

Terbuka Korea adalah kejohanan pertama Aaron-Wooi Yik selepas tumpas beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy di final Terbuka Indonesia, bulan lalu.

Gandingan negara itu yang baharu sahaja dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022, Isnin lalu, akan mengalihkan fokus mereka bagi menghadapi saingan Terbuka Jepun, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:34 PM