ZII Jia gagal ikut jejak Aaron-Wooi Yik. FOTO ASYRAF HAMZAH
ZII Jia gagal ikut jejak Aaron-Wooi Yik. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hasrat pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk merangkul gelaran juara berganda tidak kesampaian apabila kecundang di tangan pemain China, Weng Hong Yang.

Zii Jia yang berada di ranking ke-11 sebelum ini muncul juara di Terbuka Arctic minggu lalu tunduk kepada Hong Yang 12-21, 6-21 dalam tempoh 33 minit.

Kekalahan pemain negara yang berusia 25 tahun itu menyaksikan Hong Yang kini mendahului rekod pertemuan ke atas Zii Jia dengan tiga kemenangan berbalas satu.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah pada separuh akhir Terbuka Australia yang menyaksikan Zii Jia tewas di tangan Hong Yang yang berada di ranking ke-22 dunia, 19-21, 21-13, 19-21.

Pemenang acara perseorangan lelaki pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu akan membawa pulang AS$59,500 (RM283,666) dan 11,000 mata BWF.

Kekalahan Zii Jia itu menyaksikan dia gagal untuk menjejaki kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya merangkul merangkul gelaran Jelajah Juara Dunia BWF pertama di Terbuka Denmark.

Gelaran sulung itu hadir selepas enam tahun Aaron-Wooi Yik menanti sejak mula digandingkan bersama pada 2017.

Pada aksi final di Arena Jyske Bank, Odense, beregu ranking keempat dunia itu berjaya mengatasi lawan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan keputusan straight set 21-13, 21-17 dalam tempoh 33 minit .

Pertemuan itu adalah yang keempat buat kedua-dua beregu dengan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik meraih tiga kemenangan - terbaru di pusingan kedua Terbuka Jepun, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 11:48 PM