WOOI Yik (dua dari kiri) dan Aaron (kanan) bersama pemain beregu negara pada Majlis Pengumuman Kumpulan Affin Bank selaku rakan bank rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
WOOI Yik (dua dari kiri) dan Aaron (kanan) bersama pemain beregu negara pada Majlis Pengumuman Kumpulan Affin Bank selaku rakan bank rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menegaskan dia dan gandingannya, Aaron Chia perlu mempamerkan aksi konsisten sekiranya menyimpan hasrat untuk merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF pada tahun ini.

Ia pastinya bermula dengan kempen Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selasa ini.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keempat akan membuka tirai menentang gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan pertama sebelum diramal berdepan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, jika mara ke pusingan kedua.

"Itu yang kami lihat ada pemain China, mereka konsisten dari awal tahun hingga ke akhir tahun, manakala prestasi kami ada 'up and down'.

"Jadi, kami perlu konsisten pada setiap mata, setiap peringkat dan setiap kejohanan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (BAM) Bukit Kiara, hari ini.

Pada kempen tahun lalu, langkah Aaron-Wooi Yik terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia tidak pernah meraih sebarang gelaran juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF.

Wooi Yik berkata, berbekal status selaku juara dunia, amat penting untuk mereka menampilkan aksi terbaik di Bukit Jalil sebelum mengharungi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Mei depan.

"Saya memang teruja setiap kali beraksi di Terbuka Malaysia kerana memang suka bermain di tempat sendiri dan sokongan peminat tempatan akan meningkatkan lagi motivasi saya.

"Tempoh tiga bulan pertama ini sangat penting, kami mahu berikan persembahan terbaik dalam beberapa kejohanan awal untuk mendapat keyakinan dan bermula dengan baik sebelum pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 9:17 PM