AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika beraksi di Terbuka Malaysia. FOTO NSTP
AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika beraksi di Terbuka Malaysia. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Walaupun tewas pada di pentas final Terbuka India pada Ahad lalu, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap tidak akan berputus asa untuk mengakhiri penantian muncul juara buat kali pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Menurut Aaron meskipun dia dan pasangannya berjaya menampilkan prestasi yang baik di kejohanan itu, namun dia enggan berpuas hati dengan aksi mereka dan akan terus bekerja keras selepas ini.

"Kami tidak boleh cakap yang kami berpuas hati kerana kami tidak berjaya meraih gelaran juara. Namun, secara keseluruhannya, prestasi kami baik dan boleh diterima.

"Ini hanyalah kejohanan kedua bagi tahun 2023, kami akan terus bekerja keras dan terus percaya dengan kemampuan diri sendiri," kata Aaron ketika ditemu ramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebaik tamat aksi final di New Delhi.

Terdahulu Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi yang terpuji apabila mara ke perlawanan akhir Terbuka India namun tewas kepada pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang.

Pencapaian diraih pasangan yang berada di kedudukan kedua itu boleh dianggap sebagai tanda kebangkitan juara dunia itu yang sebelum ini ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Aaron-Wooi Yik sekali lagi berpeluang untuk mengakhiri penantian muncul juara jelajah Dunia BWF apabila mereka dijadual beraksi dalam saingan Masters Indonesia yang membuka tirainya hari ini.

Pasangan negara itu dijangka bertemu beregu daripada pusingan kelayakan pada pusingan pertama, esok.

Jika berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka berpeluang menebus kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang yang diramal menjadi lawan untuk perebutan tiket ke suku akhir.

Wei Keng-Wang Chang akan memulakan kempen di Masters Indonesia menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada aksi pusingan pertama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 2:49 PM