Zakri Khir.
Zakri Khir.
BERNAMA

ALLIANZ Malaysia Bhd telah mengesahkan laporan bahawa Zakri Khir telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Allianz Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Zakri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu dan Allianz General Insurance Company (M) Bhd, mengumumkan peletakan jawatannya kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan hari ini berkuat kuasa serta-merta.

Zakri telah dilantik oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk mengetuai Perkeso pada 8 Oktober 2018 kerana beliau memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam industri insurans.

"Saya memandang perkara itu sebagai perkhidmatan untuk negara tetapi dengan adanya perubahan kerajaan, sudah tentu ada pembaharuan dan saya berpendapat bahawa perkhidmatan saya tidak lagi diperlukan.

"Saya telah melakukan yang terbaik dan saya berterima kasih di atas semua sokongan dan keistimewaan dapat berkhidmat kepada kerajaan sejak 16 bulan yang lalu," katanya.

Portal berita dalam talian Focus Malaysia hari ini melaporkan bahawa Zakri telah meletakan jawatannya sebagai pengerusi Perkeso, dan Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia dipilih sebagai pengganti Zakri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:41 PM