TANG Jie, Ee Wei benam beregu Taiwan. FOTO BAM
TANG Jie, Ee Wei benam beregu Taiwan. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi mantap apabila berjaya menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Taiwan, sebentar tadi.

Lebih manis lagi pasangan ranking ke-19 dunia dan pilihan keempat itu menyingkirkan wakil tuan rumah, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang 21-15, 21-14 pada aksi suku akhir di Arena Tian-Mu.

Ee Wei berkata, dia fokus untuk mengatasi setiap lawan tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi di Terbuka Taiwan.

"Kami perlu terus kekal fokus untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Kami tidak mahu fikir terlalu jauh sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Tang Jie-Ee Wei yang hanya mula digandingkan sejak November tahun lalu mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila mereka sudah meraih dua gelaran musim ini dengan menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran dan Masters Orleans.

Pasangan negara itu akan bertemu satu lagi beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Terdahulu, pasangan Taiwan itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing 21-18, 21-14.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Yeoh Seng Zoe yang mencipta kejutan menyingkirkan pilihan keenam dari Jepun, Kenta Tsuneyama semalam gagal mengekalkan momentumnya apabila tewas di suku akhir.

Seng Zoe yang beraksi dalam kejohanan terakhirnya sebelum 'menggantung raket' terpaksa akur tewas di tangan pemain Taiwan, Su Li Yang 5-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 5:20 PM