AKSI  Tang Jie dan Ee Wei ketika menentang lawan dari Algeria. FOTO BAM
AKSI Tang Jie dan Ee Wei ketika menentang lawan dari Algeria. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi mantap apabila mengesahkan slot ke pusingan kedua Terbuka Taiwan, sebentar tadi.

Wakil negara itu yang diletakkan pilihan keempat kejohanaan tidak berhadapan masalah menundukkan pasangan dari Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri 21-12, 21-11 dalam aksi yang berlangsung di Arena Tian-Mu.

Ee Wei, berkata dia dan pasangannya beraksi dengan semangat baharu dalam usaha memperoleh keputusan terbaik di Taiwan kali ini selepas disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG).

"Sudah tentu ia memberi motivasi tambahan kepada kami (disenaraikan dalam RTG), terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) di atas kepercayaan yang diberikan.

"Kami akan terus bekerja keras untuk menghasilkan keputusan yang baik khususnya bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024. Kami akan terus kekal fokus dalam setiap perlawanan yang kami harungi," katanya.

Tang Jie-Ee Wei dijangka berdepan ujian lebih mencabar bagi memburu tiket ke suku akhir apabila dijadual menentang pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaiprapat pada aksi pusingan kedua, esok.

Turut cemerlang melangkah ke pusingan kedua membabitkan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing selepas mengatasi wakil tuan rumah, Fang Chih Lee-Sun Wei Pei 21-13, 21-11 dan akan bertemu beregu Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Lee Yu Lim.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Yeoh Seng Zoe bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Lin Kuan-Ting dari Taiwan 17-21, 21-12, 21-19 dan berdepan pilihan keenam dari Jepun, Kanta Tsuneyama.

Namun, dua lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terlepas peluang ke pusingan kedua sleepas terkandas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 2:42 PM