YEW Sin dan Ee Yi atasi pasangan tuan rumah. FOTO BAM
YEW Sin dan Ee Yi atasi pasangan tuan rumah. FOTO BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga pasangan badminton Malaysia termasuk dua pasangan lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, layak ke separuh akhir Terbuka Taiwan 2023, hari ini.

Apa yang lebih menarik, Malaysia sudah pasti akan mempunyai wakil pada perlawanan akhir selepas kedua-dua pasangan negara itu, berhadapan antara satu sama lain di separuh akhir pada kejohanan yang berlangsung di Arena Tian-Mu, Taiwan.

Pada perlawanan suku akhir hari ini, selaku pasangan pilihan pertama kejohanan Yew Sin-Ee Yi, berjaya mengetepikan cabaran pasangan tuan rumah Lee Fang-Chih- Lee Fang-Jen, 15-21, 21-19, 21-17.

Pasangan Wei Chong-Kai Wun, yang juga naib juara Masters Malaysia 2023 pula mengambil masa 32 minit untuk mengejutkan satu lagi pasangan tuan rumah, yang juga pasangan pilihan keempat kejohanan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, 21-19, 21-19.

Sementara itu pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga layak ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan tuan rumah Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang, 21-15, 21-14.

Pasangan pilihan keempat kejohanan itu, akan berhadapan satu lagi pasangan tuan rumah Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin yang mengalahkan satu lagi pasangan negara Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, 21-18, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 9:42 PM