AKSI Seng Zoe ketika menentang Tsuneyama. FOTO BAM
AKSI Seng Zoe ketika menentang Tsuneyama. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejutan dilakar pemain perseorangan lelaki profesional negara, Yeoh Seng Zoe apabila menyingkirkan pemain ranking ke-14 dunia, Kanta Tsuneyama pada pusingan kedua Terbuka Taiwan, hari ini.

Menduduki ranking ke-139 dunia ketika ini, Seng Zoe melakar kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Tsuneyama yang juga juara Terbuka Perancis 2021 pada aksi di Arena Tian-Mu.

Seng Zoe yang beraksi dalam kejohanan terakhirnya sebelum 'menggantung raket', akan bertemu pemain tuan rumah, Su Li Yang di suku akhir, esok.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaiprapat 21-13, 21-13.

Pilihan keempat kejohanan itu akan berdepan beregu campuran Taiwan yang juga pilihan ketujuh, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang pada aksi suku akhir.

Sementara itu, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Lee Yu Lim 19-21, 21-16, 21-14.

Beregu campuran negara itu akan berdepan wakil tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 5:18 PM