TAN JIE-EE WEI tumpaskan pasangan tuan rumah untuk mara ke final Terbuka Taiwan. -FOTO Ihsan BAM
TAN JIE-EE WEI tumpaskan pasangan tuan rumah untuk mara ke final Terbuka Taiwan. -FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tan Jie-Toh Ee Wei melaungkan amaran bahawa mereka bukanlah 'biasa-biasa' apabila menempah slot final Terbuka Taiwan selepas cemerlang menumpaskan pasangan tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin sebentar tadi.

Pasangan beregu campuran negara itu mencatatkan kemenangan pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Tian-mu Arena, University of Taipei menerusi pungutan mata 21-14, 21-19 dalam tempoh 34 minit.

Permainan yang cukup mantap ditampilkan beregu campuran negara yang berada di ranking ke 19 dunia itu sekali gus memastikan mereka menempah slot final kali ketiga selepas turut melakukannya ketika muncul juara pada Cabaran Antarabangsa (IC) Iran dan Orleans Masters.

Pada perlawanan itu, Tang Jie-Ee Wei bermula cukup baik selain tenang berdepan pemain lawan yang mendapat sokongan padu penonton di laman sendiri meskipun Hong Wei-Chia Hsin cuba mengejar di pertengahan set pertama.

Memasuki set kedua, Tan Jie-Ee Wei melakukan kejutan apabila satu ketika ketinggalan 3-11 kepada tuan rumah namun mereka mampu bangkit di hujung perlawanan sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

Sementara itu, menurut jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto memaklumkan bahawa pasangan negara itu beraksi dengan tenang dan baik pada perlawanan separuh akhir untuk mengesahkan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Hari ini mereka (Tang Jie-Ee Wei) bermain sangat baik tetapi mungkin agak terburu-buru pada penghujung set kedua apabila bermain kurang tenang. Esok kita perlu terus fokus kerana lawan memiliki kelebihan bermain di laman sendiri," katanya.

Mengikut rekod, ini adalah kemenangan ketiga Tang Jie-Ee Wei ke atas Hong Wei-Chia Hsin dalam tiga pertemuan selepas turut menewaskan beregu Taiwan itu ketika bertemu pada Orleans Masters dan Piala Sudirman.

Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Taiwan pastinya memberi keyakinan buat gandingan yang digelar 'gangster duo' itu dalam usaha mereka memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 2:35 PM