SHUN Yang tewas kepada Chico Aura.
SHUN Yang tewas kepada Chico Aura.
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Hanya beregu campuran, Yap Roy King-Cheng Su Yin menjadi wakil tunggal Malaysia yang akan beraksi di pentas final acara badminton Sukan Sea Kemboja 2023, esok.

Ia selepas empat lagi wakil negara 'sangkut' di separuh akhir termasuk dua pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang serta dua beregu wanita dengan kesemuanya tewas kepada wakil Indonesia.

Roy King-Su Yin mengesahkan slot ke final apabila berjaya melepasi halangan pasangan Thailand, Phataimas Muenwong-Pakkapon Teeraratsakul dalam pertarungan sengit tiga set 24-22, 25-27, 21-19.

Mereka akan berdepan gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati yang menyingkirkan wakil Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Chasinee Korepap juga menerusi tiga set 19-21, 21-18, 21-19.

Langkah positif skuad negara bagaimanapun gagal diteruskan Jun Hao yang juga pilihan ketiga apabila tewas 19-21, 12-21 kepada pilihan kedua dari Indonesia, Christian Adinata.

"Mungkin saya memang tidak bermain dengan cukup baik pada permainan hari ini. Bukan tak menjadi tetapi apa yang saya rancang tak berapa sesuai.

"Dia (Adinata) mungkin juga sudah dapat membaca corak permainan saya. Saya bermain di bawah tekanan sebab saya harap boleh meraih pencapaian yang lebih baik," katanya Jun Hao.

Nasib sama menimpa beregu wanita, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan yang terpaksa akur tewas 9-21, 9-21 kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi.

Hasrat Su Yin untuk menempah dua tiket final, esok juga tidak kesampaian apabila gandingan bersama kembarnya, Su Hui ditunjukkan jalan keluar oleh satu lagi pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose.

Su Yin-Su Hui tewas 10-21 dalam set pertama dan mereka memberi saingan sengit dalam set kedua, namun terpaksa akur dengan kekalahan 17-21.

Indonesia terus menjadi pemusnah harapan wakil negara apabila giliran pemain perseorangan mereka, Chico Aura Dwi Wardoyo pula menyingkirkan Shun Yang dengan merekodkan kemenangan straight set 21-15, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:03 PM