GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Bharu: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencederakan anak saudara dan kenalannya dengan menggunakan parang pada 2022.

Idris Mat Hassan, 42, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak saudaranya, Ahmad Azhar Ab Kadir, 46, menggunakan sebilah parang di hadapan sebuah rumah di Kampung Telong, Aur Telong, Bachok pada 10.30 pagi, 25 Nov 2022.

Bagi tuduhan pertama itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara dua kali ganda tempoh maksimum ke atas sabitan bagi seksyen yang relevan walau apa-apa hukuman lain diberikan bagi kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, Idris didakwa menyebabkan kecederaan Mohd Hasni Mohd Rezki Ramli, 39, pada hari, masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Idris didakwa mendatangkan ketakutan jenayah terhadap Mohd Hasni dengan mengejar menggunakan kereta jenis Pajero sambil memegang sebilah parang pada hari, masa dan tempat yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Azeezi Nordin memohon jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya pernah dituduh di Mahkamah Majistret Bachok dalam kes lain sebelum ini dan tiada risiko tertuduh melarikan diri.

Hakim Zulkifli Ablah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:01 PM