JUN Hao ketika menentang pemain Filipina, Jewel Albo. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
JUN Hao ketika menentang pemain Filipina, Jewel Albo. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Phnom Penh: Kem badminton negara berpeluang untuk menambah koleksi pingat di temasya Sukan Sea Kemboja apabila tiga wakil sudah mengesahkan tempat di pusingan separuh akhir, sebentar tadi.

Sudah pastinya tumpuan diberikan kepada dua pemain perseorangan lelaki negara, Lee Shun Yang dan Leong Jun Hao yang tidak berdepan masalah menundukkan lawan masing-masing di peringkat suku akhir yang berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Sukan Morodok Techo.

Kebangkitan dramatik dipamerkan Shun Yang apabila bangkit menewaskan wakil Thailand Panitchapon Teeraratsakul menerusi keputusan 18-21, 21-19, 21-17, manakala Jun Hao mudah mengatasi pemain Filipina, Jewel Angelo Albo dengan keputusan 21-22, 21-10.

Namun, lawan mereka diseparuh akhir bukanlah 'cap ayam' kerana perlu berhadapan Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan utama memenangi acara perseorangan individu lelaki.

Cabaran getir buat Shun Yang kerana dijadualkan bertemu pilihan pertama kejohanan Chico Aura Dwi Wardoyo, sementara Jun Hao membuat perhitungan bersama Christian Adinata.

Shun Yang berkata, dia tidak gentar berhadapan wakil dari Indonesia walaupun mengetahui lawannya itu lebih berpengalaman.

"Sebenarnya, ketika tewas dua perlawanan dalam saingan berpasukan lelaki tempoh hari, saya berasa agak sedih dan kurang keyakinan diri, tetapi untuk perlawanan hari ini (semalam) saya cuba bermain dengan mengeluarkan segala perkara yang saya miliki.

"Saya sebenarnya tiada tekanan menentang Chico kerana saya akan turun sebagai underdog, jadi saya hanya akan cuba tampilkan aksi yang terbaik.

"Mungkin saya akan minta tips daripada Jun Hao memandangkan di baru sahaja menewaskan Chico tempohari dalam final berpasukan lelaki, sebab nampak Jun Hao lebih yakin ketika membuat serangan ke atasnya, " katanya.

Mengikut rekod, ini peluang perseorangan negara untuk mencipta kejutan dengan membawa pingat emas untuk negara memandangkan pada edisi lalu di Hanoi terkandas di pusingan suku akhir.

Sementara itu, turut mengesahkan slot di separuh akhir adalah beregu campuran negara Yap Roy King-Cheng Su Yin selepas mereka menumpaskan wakil tuan rumah Vannthou Vath-Kimloung Lim 21-5,21-3 hany dalam tempoh 16 minit saja.

Roy King-Su Yin bakal menentang wakil dari Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong selepas beregu itu menumpaskan pasangan dari Filipina Alvin Morada-Alyssa Ysabel Leonardo 21-11, 21-14 di peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 4:41 PM