BERNAMA-YONHAP

Seoul: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan empat lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh pejalan kaki di pusat bandar Seoul pada malam Isnin, mencetuskan huru-hara di jalan metropolitan yang biasanya sesak, lapor Yonhap, memetik polis.

Menurut polis, kemalangan itu berlaku di persimpangan berhampiran Dewan Bandaraya Seoul sekitar 9.27 malam, apabila kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 68 tahun merempuh pejalan kaki yang sedang menunggu di lampu isyarat.

Pemandu itu dikatakan menyalahkan pecutan tidak sengaja secara tiba-tiba sebagai punca kemalangan.

Daripada sembilan kematian, enam meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi dibawa ke hospital dalam keadaan henti jantung dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Antara empat yang cedera, seorang pulang ke rumah selepas menerima rawatan, manakala yang lain dalam keadaan stabil.

Polis melaporkan bahawa kenderaan itu bergerak ke arah yang salah dan berlanggar dengan dua kenderaan sebelum melanggar pejalan kaki. Pemandu itu ditahan oleh pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:03 PM