PEMAIN negara bersama pingat perak mereka. FOTO Reuters
PEMAIN negara bersama pingat perak mereka. FOTO Reuters
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Hasrat skuad badminton lelaki negara untuk menukar warna pingat perak kepada emas dalam acara berpasukan Sukan Sea Kemboja 2023 tidak kesampaian apabila tewas kepada Indonesia 3-1 pada final yang berlangsung di Dewan Badminton Morodok Techo, hari ini.

Malaysia yang turut memenangi perak pada temasya sama di Vietnam tahun lalu bermula positif dengan pemain perseorangan utama, Leong Jun Hao tidak berdepan masalah untuk memungut mata pertama negara apabila menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 21-16, 21-13.

Beregu Goh Boon Zhee-Rayner Beh Chun Meng bagaimanapun gagal meneruskan momentum itu apabila tewas kepada Bagas Maulana-Muhammad Shohibul Fikri 12-21, 20-22.

Nasib sama menimpa perseorangan kedua Lee Shun Hang yang terpaksa akur tewas dengan straight set 17-21, 9-21 di tangan pemain ranking ke-59 dunia, Christian Adinata.

Beregu kedua negara, Chia Weijie-Liew Xun seakan memberi harapan untuk skuad negara bangkit menyamakan kedudukan apabila memenangi set pertama 21-13 ketika menentang Pramudya Kusumawardana Riyanto-Yeremia Erich Yoche Yacob.

Harapan itu bagaimanapun musnah apabila mereka tewas set kedua dan set penentuan 16-21, 16-21, sekali gus terpaksa akur dengan pingat perak.

Weijie ketika ditemui selepas perlawanan mengakui usaha keras yang dilakukan mereka belum cukup untuk mengatasi pasangan Indonesia itu.

"Kami sudah lakukan yang terbaik dan kami pun perlu akui bahawa lawan beraksi dengan lebih baik hari ini. Mereka juga lebih berpengalaman dan pukulan mereka lebih bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 8:11 PM