Saifuddin Nasution ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Saifuddin Nasution ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur seorang Ahli Parlimen blok kerajaan kerana tidak mematuhi etika berpakaian apabila memakai baju batik di Parlimen, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sebelum mengajukan soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, pagi tadi.

Rosol bertanya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai etika pemakaian batik selepas melihat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memakai baju batik bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

"Yang Dipertua, saya nak tanya, etika berpakaian di Parlimen, (baju) batik boleh dipakai hari apa sebab nampak Menteri Dalam Negeri pakai batik hari ini," katanya.

Anwar kemudian, terus menegur secara terbuka dan meminta Saifuddin mematuhi ketetapan peraturan pemakaian di Parlimen.

"Saya nak ingatkan Menteri Dalam Negeri, ikut peraturan Parlimen. Saya setuju dengan Hulu Terengganu (Rosol)," katanya.

Saifuddin yang duduk di belakang kerusi Anwar dan mengenakan baju batik berwarna ungu dilihat tersenyum serta mengangguk sebagai respons kepada teguran itu.

Untuk rekod, pada 2021, pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang dalam kalangan Ahli Parlimen dipersetujui bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada setiap Khamis.

Ia bukanlah satu arahan mandatori, sebaliknya bertujuan untuk memartabatkan batik sebagai warisan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:16 PM