Phnom Penh: Beregu campuran negara yang baru dibentuk beberapa hari lalu, Yap Roy King-Cheng Su Yin tidak menunggu lama untuk mencipta kejutan apabila mara ke final Sukan Sea Kemboja 2023.
Roy King-Su Yin meraih tiket ke final selepas berjaya melepasi halangan pasangan Thailand, Phataimas Muenwong-Pakkapon Teeraratsakul dalam pertarungan sengit tiga set sebelum menang 24-22, 25-27, 21-19 dalam aksi separuh akhir di Dewan Badminton Morodok Techo, hari ini.
Mengikut perancangan awal, Su Yin sepatutnya berpasangan dengan Choong Hon Jian, manakala Roy King pula bergandingan dengan Yap Ling untuk temasya dwitahunan itu.
Roy King berkata, dia harus memberi kredit kepada Su Yin yang beraksi dengan baik pada perlawanan itu dan membantu mereka merebut tiket ke final.
"Kalau tak ada dia (Su Yin) saya fikir kami tak boleh menang perlawanan ini. Saya hanya cakap kepada dia supaya fokus kepada permainan, sebab jika fikir banyak kita akan buat banyak silap.
"Saya gembira kerana sebelum ini saya sasar paling kurang layak ke separuh akhir tetapi kami berjaya melangkah hingga ke final dan kami akan bagi yang terbaik," kata Roy King.
Kemenangan itu membawa mereka selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas acara beregu campuran yang dimenangi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei di Hanoi tahun lalu.
Bagi aksi final esok, Roy King-Su Yin akan berdepan gandingan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati yang menyingkirkan wakil Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Chasinee Korepap juga menerusi tiga set 19-21, 21-18, 21-19.
Mengulas mengenai aksi final, Su Yin menegaskan bahawa mereka tetap akan memberikan aksi terbaik dalam usaha menyumbang pingat emas buat Malaysia.
"Saya berasa kami tetap boleh bersaing dengan mereka, apa pun kami akan tampilkan aksi terbaik," kata Su Yin.