FOTO Fail, Jacques Freitag. FOTO REUTERS
FOTO Fail, Jacques Freitag. FOTO REUTERS
Bernama-Xinhua

Cape Town: Polis Afrika Selatan pada Rabu mengesahkan penemuan mayat bekas juara dunia lompat tinggi Jacques Freitag dengan kesan beberapa tembakan, yang dilaporkan hilang bulan lepas.

Freitag, 42, yang dilaporkan hilang selama dua minggu ditemukan dengan beberapa kesan tembakan, menurut laporan berita tempatan.

Polis mengesahkan kepada Xinhua bahawa kes orang hilang telah dilaporkan oleh adik Freitag pada 24 Jun selepas "dia menyedari abangnya hilang ketika melawat rumahnya di Witbank pada 16 Jun 2024."

"Freitag memberitahu keluarga bahawa dia akan pergi ke Pretoria dan memberikan alamat rumah tamu tempat dia akan menginap," menurut polis.

Mayatnya dilaporkan ditemukan di kawasan berumput berhampiran tanah perkuburan pada petang Isnin di Pretoria West, Afrika Selatan.

Polis juga mengesahkan bahawa kes orang hilang kini ditukar kepada kes pembunuhan.

"Penemuan ini dibuat oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) yang menjalankan operasi mencari mangsa yang hilang," kata polis.

"Keluarga si mati telah mengenal pasti mayat berkenaan. Tiada siapa yang ditahan setakat ini tetapi polis sedang mengikuti petunjuk yang ada.

Freitag antara beberapa atlet yang memenangi kejuaraan dunia pada peringkat remaja, junior dan senior.

Beliau meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi di Kejohanan Dunia 2003 di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 10:48 AM