BEREGU campuran negara, Tang Jie-Ee Wei. -FOTO NSTP
BEREGU campuran negara, Tang Jie-Ee Wei. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing mengakui melakukan kesilapan mudah ketika mereka terlepas untuk merangkul kejuaraan Jelajah Dunia BWF kali ketiga apabila kalah di final Masters Thailand semalam.

Baik Tang Jie mahupun Ee Wei, kedua-duanya sedar bahawa masih banyak perlu diperbaiki walaupun mereka sekarang ini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dan tahun lalu pernah merasai pengalaman beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF.

Menurut Ee Wei, mereka sudah memberikan yang terbaik ketika berdepan pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai namun terlalu banyak melakukan kesilapan mudah menghukum mereka.

"Kami perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan mata penting, itu pengalaman yang ada pada mereka. Bukan tidak ada perkara yang positif tetapi kami harus membuat keputusan yang betul jika berdepan situasi sedang merebut mata penting," katanya kepada SPOTV Malaysia selepas perlawanan semalam.

Pertembungan antara pilihan utama dan kedua itu dijangka berlangsung sehingga ke rubber set, namun Dechapol-Sapsiree menghadirkan kegembiraan segera buat peminat mereka selepas mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-18.

Sementara itu, Tang Jie mengakui bahawa dia juga perlu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan berkenaan kerana tidak melindungi Ee Wei ketika pasangan lawan melakukan serangan di dalam gelanggang.

"Saya tidak melindungi pasangan saya dengan baik seperti yang dilakukan mereka terutama ketika Ee Wei sedang bertahan, jadi saya harus ambil tanggungjawab ini (atas kekalahan berkenaan).

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Tang Jie berkata, mereka akan pulang mengadakan perbincangan bersama jurulatih terlebih dahulu untuk mengetahui kejohanan yang harus disertai selepas ini.

Kekalahan semalam menyaksikan rekod Tang Jie-Ee Wei ketika berdepan juara dunia 2021 terus merosot kepada 1-5 dengan kemenangan tunggal dicatatkan ketika di suku akhir Terbuka Artik tahun lalu apabila mereka menang straight set 21-14, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 1:39 PM