KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing berdepan tugas berat apabila menentang Dechapol-Sapsiree di suku akhir Terbuka China, esok. FOTO ARKIB NSTP
KIAN Meng (kiri) dan Pei Jing berdepan tugas berat apabila menentang Dechapol-Sapsiree di suku akhir Terbuka China, esok. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sangat bermakna, tapi perjuangan masih belum tamat, itulah luahan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas mara ke suku akhir buat kali pertama tahun ini di Terbuka China, hari ini.

Mereka yang menduduki ranking ke-23 dunia kembali bangkit selepas tewas set pertama untuk mengatasi beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

"Mara ke suku akhir pertama kami tahun ini amat bermakna, tetapi tugas kami belum tamat kerana esok ada perlawanan besar dan amat penting," kata Kian Meng kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Kian Meng-Pei Jing berdepan ujian getir dalam misi merebut tiket ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pasangan nombor empat dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan Thailand itu mempunyai rekod cemerlang apabila menang sembilan daripada 11 pertemuan dengan kali terakhir kedua-dua gandingan itu bertemu pada Terbuka Korea yang menyaksikan Dechapol-Sapsiree menang 21-9, 21-7.

"Untuk esok, kami bertemu lawan pilihan dan tidak mahu bermain terlalu bertahan, tidak boleh mengangkat bola tinggi terlalu banyak dan kami mahu tampilkan corak menyerang.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dan hanya mahu mempamerkan prestasi terbaik dalam setiap kejohanan, setiap perlawanan," kata Pei Jing.

Kian Meng-Pei Jing tidak keseorangan ke suku akhir selepas gandingan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menempah slot ke kelompok lapan terbaik.

Tang Jie-Ee Wei mengatasi gandingan nombor enam dunia, Kim Wan Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan, 21-17, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan Te Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua.

Pasangan itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu pilihan kelima dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 16-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 4:28 PM