INTEGRASI pengangkutan permudahkan orang ramai.
INTEGRASI pengangkutan permudahkan orang ramai.
Mahaizura Abd Malik

Shah Alam: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) melengkapkan dan menambah baik pelan induk sedia ada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terutama dalam aspek menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pembangunan ini akan berupaya membantu menyelesaikan isu setempat dihadapi penduduk sekitar.

Menurutnya, pihaknya menyedari kawasan Shah Alam kerap dilanda banjir, sekali gus melihat dua isu utama iaitu banjir dan lalu lintas (trafik).

"Untuk banjir ini, kita telah merancang dalam master plan iaitu untuk sistem saliran, maka kita boleh mengalirkan (air) apabila berlaku banjir ke Sungai Damansara.

"Kita mempunyai sistem saliran sedia ada di Seksyen 13 iaitu lima pam air yang akan berfungsi atau sedang berfungsi sekarang untuk menangani isu apabila mungkin menerima banyak taburan hujan.

"Jadi, dengan gabungan projek tebatan banjir (seluas) 4.04 hektar dalam KSSA akan lengkapkan dan menambah baik lagi apa yang kita ada sekarang," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, masalah trafik setempat juga dapat diatasi menerusi terminal bersepadu yang dibangunkan dalam KSSA.

"Dalam kompleks itu semua ada, satu boleh diintegrasikan dengan sistem pengangkutan sedia ada. Kita sudah ada sistem Transit Aliran Ringan (LRT 3), jadi ia boleh menyelesaikan masalah trafik di Shah Alam.

"Integrasi pengangkutan dengan mod pengangkutan sedia ada boleh mempercepatkan dan mempermudahkan orang ramai masuk menggunakan pengangkutan awam sekali gus kita boleh kurangkan penggunaan pengangkutan persendirian dan tangani isu trafik," katanya.

MOHD Fauzi. FOTO Faiz Anuar
MOHD Fauzi. FOTO Faiz Anuar

Katanya, pembangunan KSSA yang menampilkan konsep kelestarian juga selaras dengan pembangunan bandar hijau mampan yang ditekankan di Shah Alam.

"Di Shah Alam kita mementingkan pembangunan bandar hijau jadi kemampanan bandar hijau dan penggunaan solar juga disampingkan dalam pembinaan KSSA ini.

"Contohnya, projek tebatan banjir KSSA juga menekankan kepada aspek hijau iaitu pada masa hujan, ia berfungsi sebagai kolam takungan, tetapi apabila kering, ia akan berfungsi sebagai tempat rekreasi lebih menarik hingga boleh memuatkan pengunjung lebih ramai.

"Jadi, ini satu tarikan yang unik dan mampu untuk menarik ramai orang datang ke Shah Alam untuk menikmati keindahan yang ada di persekitaran KSSA," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengalu-alukan projek berkenaan yang sememangnya akan memberi impak yang positif dan mengubah imej bandar raya ini apabila siap kelak.

"Kita lihat stadium lama dengan kemudahannya mungkin tidak lagi menepati keperluan semasa, jadi sebab itu dengan adanya KSSA ini, ia boleh menjanjikan banyak kelebihan, faedah dan kebaikan bukan sahaja kepada penduduk di sekitar Shah Alam, tetapi juga di luar Shah Alam.

"KSSA ini mampu untuk menarik pelancong dari luar untuk berkunjung sebab kita melihat dari segi reka bentuk futuristik dan moden dapat menjadikannya sebagai satu ikon baharu kepada Bandaraya Shah Alam.

"Selain itu, kita mungkin boleh merancang dan merangka satu program yang mungkin bercorak tahunan bagi mengumpulkan penggiat seni dalam dan luar negara untuk menggunakan teater tertutup dalam KSSA, sekali gus boleh menjana ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 10:02 AM