Skid tank yang mengandungi 25,000 minyak diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, FOTO Ihsan KPDN
Skid tank yang mengandungi 25,000 minyak diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, FOTO Ihsan KPDN
Nazdy Harun


Kuala Nerus: Sejumlah 25,000 liter minyak diesel dan dua tangki skid bernilai RM111,750 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, semalam.

Pengarahnya, Sharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan di sebuah tapak projek kawalan hakisan pantai di Kampung Mengabang Kapal, Kuala Nerus.

Menurutnya, serbuan dilakukan lapan orang anggota dan pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, risikan dilakukan selama seminggu sebelum serbuan dijalankan dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati pihak syarikat kontraktor tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi itu.

"Dianggarkan terdapat kira-kira 25,000 liter minyak diesel di dalam kedua-dua tangki skid yang ditempatkan di tapak projek tersebut.

"Seorang lelaki warga tempatan disyaki penyelia di tapak projek, berusia 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan susah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 10:21 AM