PEARLY (kanan) dan Thinaah  mencipta sejarah muncul juara Terbuka Perancis, Ahad lalu.
PEARLY (kanan) dan Thinaah mencipta sejarah muncul juara Terbuka Perancis, Ahad lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejayaan meraih gelaran Super 750 buat kali pertama di Terbuka Perancis, Ahad lalu menjadi penanda aras buat Pearly Tan-M Thinaah untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, pasangan yang melonjak ke tangga ke-10 dunia itu dinasihatkan agar bijak menguruskan diri dan tidak terbuai dengan kejayaan itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, anak didiknya itu mempunyai mental kental dan sentiasa laparkan kejuaraan sebagaimana gandingan ternama dunia, seperti pasangan China, Chen Qin Chen-Jia Ya Fan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dan Lee So Hee-Shin Seung Chan (Korea Selatan), serta Nami Matsuyama-Chiharu Shida (Jepun).

"Sekarang kita harus imbau semula apa yang terjadi kepada Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dulu, daripada pemain yang bagus sehingga menemui kegagalan.

"Di sini kita bukan mahu menceritakan kesalahan siapa, tapi kita tak mahu Pearly-Thinaah dibuai pujian, ini harus kita jaga," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Ujar bekas jaguh beregu lelaki Indonesia itu, Pearly-Thinaah mempunyai mental yang bagus seperti seorang juara, namun perlu berhati-hati dengan pujian.

Menurutnya, selain boleh meranapkan masa depan , pujian yang keterlaluan boleh menyebabkan pemain dihimpit tekanan.

Beliau memberi contoh, harapan terlalu tinggi diletakkan ke atas pemain yang merangkul kejuaraan untuk berjaya di kejohanan akan datang.

Rexy tidak menolak kemungkinan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedang mengalami tekanan itu hingga tidak mampu mempamerkan aksi di tahap sebenar.

"Saya tidak menolak Aaron-Wooi Yik menghadapi masalah tekanan ini kerana orang ramai fikir dia juara dunia dan harus menang itu dan ini.

"Sebagai pemain, sebenarnya tiada beban cuma mereka akan ada tekanan apabila orang cakap itu ini. Perlu diingat setiap pemain tahu tanggungjawab mereka ke kejohanan untuk menang, jadi tak perlu ada mana-mana pihak termasuk peminat mengatakan mereka perlu menang itu dan ini," kata Rexy lagi.

Selepas muncul juara dunia, Aaron-Wooi Yik tersingkir di separuh akhir Terbuka Denmark apabila tunduk kepada gandingan Indonesia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Pada Terbuka Perancis pula, mereka tewas seawal pusingan pertama kepada gandingan China, Liang Wei Kang-Wang Cheng.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 4:58 PM