BEREGU lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Sooh Wooi Yik tewas kepada beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto pada separuh akhir Malaysia Masters, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Sooh Wooi Yik tewas kepada beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto pada separuh akhir Malaysia Masters, hari ini. FOTO FATHIL ASRI.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peminat badminton negara terus hampa apabila tiada wakil negara bakal beraksi di final Masters Malaysia, esok, sekali gus mengulangi episod sama di Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Ia berikutan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir, sebentar tadi.

Turun selaku pilihan kelima, Aaron-Wooi Yik cuba memberi tentangan dengan mengheret aksi sehingga ke rubber set, sebelum tumpas 14-21, 21-19, 10-21.

Kali terakhir Aaron-Wooi Yik mara ke pentas final pada musim ini adalah di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina, Mei lalu yang menyaksikan mereka tewas 21-23, 10-21 di tangan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dari Indonesia.

Gandingan Fajar-Rian dijadual bertemu rakan senegara, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pentas final selepas beregu pilihan ketiga Indonesia itu menumpaskan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.

"Saya rasa di set ketiga sebelum mereka meraih 11 mata, mereka banyak memberi tekanan. Selain itu kami berada di kedudukan yang perlu melawan arah angin.

"Jadi mereka bagi tekanan untuk kita buat kesilapan," kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui pasangan Indonesia itu sudah banyak menunjukkan peningkatan dan berjaya mempamerkan permainan stabil.

"Bukan senang untuk mencari ruang bagi mencatat kemenangan ke atas mereka. Satu pelajaran buat kami tapi tidak perlu sedih kerana mereka adalah pemain terbaik dunia," katanya.

Kekalahan Aaron-Wooi itu mengikuti jejak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang sebelum itu tewas di separuh akhir di tangan pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 10-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 9:03 PM