AARON (kiri) dan Wooi Yik menewaskan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
AARON (kiri) dan Wooi Yik menewaskan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ternyata lega selepas melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas diheret gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan sehingga ke rubber set.

Bagaimanapun, Aaron mengakui disebabkan ini adalah kejohanan pertama dan berlangsung di laman sendiri, mereka masih tercari-cari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Tahun baru, semua bermula dengan kosong, tambahan pula kami perlu fokus kepada Terbuka Malaysia, mungkin ada sedikit tekanan.

"Ia memang perkara biasa untuk mendapat suasana kejohanan di set pertama," kata Aaron selepas dia dan Wooi Yik mencatat kemenangan 16-21, 21-15, 21-16.

Ujar Aaron, pada masa sama, dia menyedari pasangan lawan sudah membaca corak permainan mereka, namun mereka bangkit semula di set kedua.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan keempat kejohanan akan berdepan wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di pusingan kedua esok.

"Saya rasa mungkin sebab kami baru mengharungi aksi pertama yang sangat sukar, jadi ia bagus untuk kami berdepan perlawanan lebih susah selepas ini.

"Memang kami akan memikirkan satu demi satu perlawanan, tapi bila dimulakan dengan kemenangan ia akan membuatkan kami lebih bersedia untuk aksi seterusnya," kata Aaron.

Sementara itu, hasrat Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas kalah 18-21, 21-23 di tangan pilihan kedua dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Mengalami nasib sama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang tumpas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 11-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 7:56 PM