DE Boer akan memulakan tugas dengan kadar segera. FOTO AFP
DE Boer akan memulakan tugas dengan kadar segera. FOTO AFP
AFP

The Hague: Frank de Boer dilantik menjadi jurulatih baru Belanda, selepas perkara itu diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Belanda (KNVB).

Pemain ketiga paling banyak mewakili Belanda sepanjang zaman, De Boer menggantikan Ronald Koeman yang meletak jawatan awal tahun ini untuk mengambil alih Barcelona dan jurulatih sementara, Dwight Lodeweges.

"Bekas pemain antarabangsa berusia 50 tahun ini akan membimbing Oranje sehingga Piala Dunia 2022," kata KNVB dalam satu kenyataan.

De Boer akan memulakan tugas dengan kadar segera dan bakal berada di padang pada sesi latihan menentang Mexico dan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Bosnia Herzegovina serta Itali.

De Boer, pemain yang mempunyai kaki kiri berbakat ketika beraksi bersama Oranje pada 1990 hingga 2004, melalui pelbagai pengalaman ketika menjadi jurulatih.

Dia kali pertama memulakan karier kejurulatihan di Amsterdam bersama pasukan gergasi Belanda, Ajax pada 2007 dan menjadi pembantu kepada Bert van Marwijk, bersama seorang lagi pemain yang sudah bersara, Phillip Cocu bagi membawa skuad Oranje mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Selepas itu beliau menjadi jurulatih sementara Ajax dan membawa pasukan itu menjadi juara Eredivisie pada musim 2010-11.

Pada 2014, De Boer memenangi kejuaraan kali keempat Eredivisie bersama Ajax, sekali gus menjadi pengurus pertama meraih pencapaian berkenaan dalam saingan liga Belanda.

Beliau meninggalkan Ajax pada 2016 untuk menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Inter Milan namun dipecat selepas 85 hari mentadbir selepas beberapa kekalahan.

Pada Jun 2017, De Boer diumumkan sebagai pengurus baru pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace namun dipecat 10 minggu kemudian apabila Palace tewas dalam empat perlawanan pertama musim tanpa menjaringkan sebarang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 8:30 AM