PEMAIN Belanda berlatih menjelang perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Republik Czech. FOTO AFP
PEMAIN Belanda berlatih menjelang perlawanan pusingan kedua Euro 2020 menentang Republik Czech. FOTO AFP
AFP

Budapest: Jurulatih Belanda, Frank de Boer berkata, pasukannya berhasrat memenangi Euro 2020 apabila turun menentang Republik Czech di pusingan kedua, esok.

"Impian kami bukan sedar mara ke final, sebaliknya menang piala. Itu matlamat kami dan kejohanan ini dinilai sebagai kejayaan kami," kata De Boer.

"Tetapi, terdapat enam atau tujuh lagi pasukan memiliki impian sama dan mereka turut memiliki kualiti.

"Bukan mudah untuk muncul juara Eropah, tetapi saya fikir kami turut memiliki kualiti itu."

Selepas gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018, barisan pemain seperti Robin van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder sudah bersara dan generasi baru Belanda diketuai perancang Barcelona, Frenkie de Jong mula mencuri tumpuan.

De Boer yakin mampu mengulangi kegemilangan pasukan dipimpin Marco van Basten memenangi Euro 1988 dan ia bukan mustahil bagi pasukannya.

"Saya berfikiran positif, jadi katakan semua benda kena dengan tempatnya," katanya.

The Oranje menjuarai Kumpulan C selepas menang tiga perlawanan di Amsterdam dengan menjaringkan lapan gol tanpa bolis, tetapi kini mereka berdepan anak buah Jaroslav Silhavy yang cukup liat.

Pemenang perlawanan itu akan menentang sama ada Wales atau Denmark di suku akhir di Baku pada 3 Julai.

"Secara tradisionalnya, kami memiliki perlawanan sukar dengan Czech," kata De Boer.

Sejak Republik Czech muncul negara bebas pada 1993, pasukan itu menang lima kali dan kalah tiga kali kepada Belanda, selain seri tiga kali.

Penyokong Czech pastinya masih ingat pertarungan klasik di Euro 2004 di Portugal, apabila mereka bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menang 3-2.

Czech layak ke pusingan kedua sebagai antara empat pasukan tangga ketiga terbaik, di belakang England dan Croatia dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 1:46 AM