Bayern Munich kini menyertai Manchester United dan Liverpool dalam perlumbaan mendapatkan Memphis Depay (gambar).

Bakat dimiliki bintang PSV Eindhoven itu dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo ketika remaja oleh Ronald de Boer, yang turut mendakwa United mempunyai kelebihan ke atas Liverpool dalam pertarungan mendapatkan penyerang Belanda itu.

Pemain Belanda berusia 21 tahun itu menggalas tugas penting dalam memastikan PSV meraih gelaran Eredivisie musim ini.

Dia juga menerima tawaran daripada Liverpool dan Paris St Germain malah turut dihubungi United.

De Boer turut kagum dan menjangkakan dia bakal mengikut jejak salah seorang pemain terhebat Old Trafford dan menjadi antara pemain terbaik dunia.

“Depay adalah antara bakat hebat di Eropah,”kata De Boer.

“Dia mempunyai skil yang dibandingkan dengan Ronaldo ketika remaja. Dia begitu lincah, mempunyai teknik permainan luar biasa, skil hebat, amat pantas, mempunyai rekod jaringan yang hebat dan mampu menjaringkan gol dari pelbagai jarak. Dia mempunyai segala-galanya.

“Bagi saya, tidak syak lagi, dia antara pemain berbakat pernah kami miliki.”

De Boer, bekas pemain tengah Ajax, Barcelona dan Belanda yang kini menjadi penolong pengurus skuad remaja Ajax, percaya kehadiran Louis van Gaal sebagai pengurus akan membeli kelebihan kepada United.

Depay bermain di bawah kendalian Van Gaal sewaktu beliau menjadi pengurus pasukan Belanda.

“Saya tidak mahu katakan kelab mana sesuai dengannya tetapi jika dia pergi ke United, dia tahu ada pengurus Belanda di sana yang mengenalinya ketika dia bermain untuk Piala Dunia,” kata De Boer.

“Ia satu kelebihan.”

Pep Guardiola dan kakitangannya juga membuat perancangan jangka panjang memandangkan pemain sayap Arjen Robben dan Franck Ribery semakin tua dan mengalami banyak kecederaan.

Bayern berminat untuk mendapatkan pemain Wolfsburg, Kevin de Bruyne dan pemain Real Madrid, Gareth Bale.

Bale masih mahu tinggal di Sepanyol tetapi De Bruyne, yang menjadi sasaran Manchester City, mungkin dijual pada harga £40 juta (RM216.8 juta) manakala PSV mahukan £20 juta (RM108 juta) untuk Depay.

Liverpool berharap dapat meyakinkan Depay yang dia akan bermain lebih kerap tetapi kelayakan ke Liga Juara-Juara bakal menjadi penentu buat pemain sayap itu untuk memilih di antara kelab itu atau United.

PSV meletakkan nilai Depay pada harga £25 juta (RM135.1 juta) dan menolak bidaan £14 juta (RM75.7 juta) daripada Tottenham musim lalu.

Pengurus besar PSV Eindhoven, Toon Gerbrands berkata: “Kami sudah memberi bayangan mengenai harga Depay yang mungkin lebih daripada ₣25 juta (RM96.8 juta). Justeru kami tidak boleh bertelagah dengan pengurusan Depay (berhubung harga itu).

Gerbrands menambah: ‘Depay perlu lebih dahulu mencapai persetujuan dengan sebuah kelab dan jika kelab bersedia membayar yuran perpindahan, dia boleh pergi lebih cepat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 9:54 AM