ISHAK (kiri) mahu barisan pemainnya mencatatkan kemenangan. FOTO Ihsan PDRM
ISHAK (kiri) mahu barisan pemainnya mencatatkan kemenangan. FOTO Ihsan PDRM
Firdaus Hashim


WALAUPUN empat rekod pertemuan terakhir lebih memihak kepada PDRM FC sebelum ini, ia bukan jaminan skuad itu mampu menundukkan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

Berdasarkan rekod lalu, kedua-dua pasukan bertemu empat kali dalam saingan liga pada 2015 dan 2016 di mana skuad The Cops melakar dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sebelum PDRM terjerumus ke Liga Perdana tahun berikutnya.

Pengendali pasukan, Ishak Kunju berkata, kejayaan lalu bukan jaminan buat anak buahnya untuk meraih kemenangan kerana kedua-dua barisan pemain sudah berubah 100 peratus.

Jika dulu skuad beruniform itu dilimpahi dengan bintang bola sepak tanahair, senario itu kini berbeza dengan pasukannya rata-rata dibarisi anggota PDRM.

Malah, skuad The Bos Gaurus juga berada pada tahap terbaik apabila dikuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan serta import yang berkualiti.

"Tak boleh (lihat rekod lalu). Kita musim ini hanya guna dua pemain import dan selebihnya anggota Polis yang bermain untuk pasukan.

"Ia jauh sama sekali dengan pasukan 2015 dan 2016, begitu juga Perak. Mereka ada pemain dan jurulatih yang bagus, jadi kami kena turun dengan pendekatan dan permainan yang baik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya lagi, biarpun pasukannya menggunakan pemain separuh profesional, namun skuadnya memiliki aura tersendiri iaitu semangat yang kuat untuk membawa kejayaan kepada pasukan PDRM.

"Walaupun kami ramai pemain PDRM, tetapi itulah keistimewaan pasukan kerana pemain beraksi semangat atas jersi dan logo polis. Semangat mereka kuat dan ia berbeza dengan pasukan lain," katanya.

Mengulas mengenai peluang skuad kendaliannya, beliau mengakui Perak adalah pasukan pilihan.

"Kita kena menang untuk hidupkan peluang kekal di Liga Super musim depan. Hanya kemenangan yang saya mahu tetapi dalam masa sama, Perak juga bahaya buat kami," katanya

PDRM kini menghuni tangga tercorot Liga Super dan wajib mencatat kemenangan dalam empat baki aksi untuk kekal atau terpaksa kembali semula ke Liga Perdana musim depan.

Pada musim lalu, PDRM meraih 'tuah' ke Liga Super selepas Pulau Pinang yang menamatkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana dipotong enam mata oleh FIFA sekaligus menyaksikan slot berkenaan diberikan kepada skuad The Cops yang berada di posisi ketiga liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 7:12 PM