Kuala Lumpur: Selepas kempunan meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi awal saingan Liga Super musim ini, skuad Selangor mengimpikan kutipan tiga mata penuh ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Berdepan skuad bimbingan Azman Adnan yang kini berada di puncak prestasi tidak sedikitpun membimbangkan pengendali Selangor Mehmet Durakovic.

Malah, jurulatih berusia 50 tahun itu menganggap pertemuan itu peluang anak buahnya mencabar rekod cemerlang The Cops yang meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan 1-0 dan Kelantan 4-0.

“Selaku juara Liga Perdana musim lalu, PDRM mempunyai ramai pemain berkaliber terutama tonggak import yang begitu berkesan.

“Lihat saja rekod sebelum ini, penyerang mereka sering saja menjaringkan gol menerusi Ashfaq Ali dan Dramane Traore.

“Mereka juga berada dalam momentum terbaik dengan merekodkan kemenangan ke atas Johor DT dan Kelantan serta menumpaskan Sabah dalam aksi Piala FA,” katanya semalam.

Masih segar dengan kemenangan penuh dramatik ke atas FELDA United untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA, Durakovic sekali lagi mengharapkan skrip sama diulangi pemainnya.

“Semangat melawan tanpa berputus asa ketika menentang FELDA Sabtu lalu diharap dapat diteruskan pada aksi menentang PDRM.

“Walaupun ketinggalan dua gol, pemain bangkit menunjukkan karakter sebenar untuk menyamakan kedudukan sebelum tuah memihak kami dalam penentuan sepakan penalti.

“Pastinya bertemu PDRM amat sukar, tapi saya yakin dengan kemampuan pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:38 AM