PEMAIN Kuala Lumpur (jersi merah) perlu fokus untuk beraksi di Liga Super.
PEMAIN Kuala Lumpur (jersi merah) perlu fokus untuk beraksi di Liga Super.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Kuala Lumpur Fabio Da Silva yakin kejayaan anak buahnya menduduki tangga teratas Liga Perdana selepas menundukkan PDRM 3-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam kelmarin akan melonjakkan moral pemain dalam usaha memburu slot ke Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, beliau mahu pemain tidak terlalu selesa dengan kedudukan berkenaan kerana mereka masih dihambat Terengganu, Negeri Sembilan dan PKNP FC.

Beliau berkata, kemenangan ke atas PDRM itu sesuatu yang amat melegakan kerana mereka berada di landasan tepat untuk mengintai peluang ke Liga Super 2018.

Tiga mata itu membolehkan Kuala Lumpur melonjak ke tangga teratas liga sambil diikuti Terengganu yang seri 2-2 dengan Negeri Sembilan.

Mengulas aksi berdepan PDRM, beliau berkata, The Cops memberi tekanan hebat kepada benteng pasukannya sepanjang babak pertama namun pertahanannya bijak menyerap setiap asakan tuan rumah.

“Tiga gol sepanjang 45 minit kedua memberi keyakinan kepada pemain untuk beraksi lebih cemerlang termasuk di pentas Piala Malaysia berdepan FELDA United pada 29 Julai ini,” katanya.

Gol kemenangan The City Boys dihasilkan menerusi Ashri Chuchu (m-46), Paola De Reis (m-57) dan Guilherme de Paula (m-88).

Sementara itu, jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus berkata, gol pelawat pada babak kedua menjadi faktor keruntuhan semangat pemain PDRM.

“Walaupun kecewa saya mengharapkan pemain bangkit mencipta kemenangan pada baki empat perlawanan liga untuk memperbaiki kedudukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 9:00 AM