PEMAIN Selangor FC
PEMAIN Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala LumpurSelangor FC mahu menghadiahkan tiga mata terakhir kempen Liga Super kepada penyokong setia Red Giants yang selama ini berada teguh di belakang pasukan sepanjang musim ini.

Menurut pengendali pasukan Tan Cheng Hoe, kemenangan ke atas PDRM FC dalam aksi terakhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bukan saja penting untuk motivasi pasukan, malah ia sebagai penghargaan buat kesetiaan penyokong Merah Kuning.

"Kita tak nak menghampakan penyokong pada aksi terakhir yang datang ke stadium, itu sebab kita kena memberi 100 peratus tumpuan dan juga persiapan pasukan," katanya.

Begitupun katanya, misi itu bukan mudah di mana tiga pertemuan sepanjang musim ini tampak memihak skuad The Cops namun Cheng Hoe percaya pemainnya sudah bersedia berjuang memburu kemenangan.

"Saya rasa untuk perlawanan terakhir Liga Super penting untuk pasukan, untuk kekalkan momentum dan juga prestasi pasukan.

"Kita tahu rekod pertemuan kita dengan PDRM FC kurang baik dalam tiga perlawanan yang lepas, kita kalah dua dan menang satu.

"Untuk aksi perlawanan terakhir ini adalah untuk beri keyakinan dan moral terbaik dan sebab itu kita kena kekalkan fokus kita dan sedia bagi mendapatkan keputusan positif," kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Selangor FC sudah mengesahkan kedudukan selaku naib juara Liga Super musim ini dan aksi dengan PDRM FC itu hanyalah sekadar pelengkap jadual.

Ia sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Asia pada musim depan di mana Selangor FC dijadual mewakili negara bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia II (ACL II).

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe dijangka menurunkan skuad terbaik selepas beliau akui pasukannya bebas daripada sebarang kecederaan untuk aksi terakhir itu.

"Pada masa ini tiada pemain yang cedera dan ia menggembirakan...dan kita mengharapkan dapat kekalkan kegembiraan ini, dapat kita terjemahkan dalam perlawanan terakhir nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 3:27 PM