Pemain Terengganu, Engku Syakir (kanan) cuba melepasi pemain Madura United pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Pemain Terengganu, Engku Syakir (kanan) cuba melepasi pemain Madura United pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


JURULATIH Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menyatakan beliau sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama yang bakal memikul cabaran skuad Penyu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas penyerang skuad Terengganu itu berkata, ia susulan selepas pasukannya mengharungi lapan aksi persahabatan pra musim bertemu pasukan tempatan dan kelab luar negara sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengumumkan lebih awal senarai barisan terkuatnya sebaliknya memerlukan sedikit masa lagi bagi menguji beberapa pemain dalam aksi persahabatan sebelum aksi liga bermula 28 Februari ini. Beliau juga mengakui masih menguji beberapa pemain muda skuadnya yang baharu diserapkan untuk bergandingan dengan lima bintang importnya iaitu Dominique da Sylva (penyerang), Lee Tuck (tengah), Sanjar Shaakhmedov (tengah) Faris Ramli (sayap) dan Babacar Diallo yang beraksi di jentera pertahanan.

"Kami berpuas hati dengan prestasi semua pemain setakat ini yang begitu komited dan mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan persahabatan dan juga latihan.

“Sudah ada bayangan kesebelasan utama pasukan, namun pemain berkenaan akan saya tentukan pada penghujung Februari depan iaitu selepas tiga atau empat lagi perlawanan persahabatan sebelum aksi sebenar.

"Perlawanan persahabatan itu penting sebagai platform untuk kami menilai kelemahan, keserasian dan prestasi pemain sebelum dapat tentukan barisan utama pasukan.

"Kami berkeyakinan selepas ini 11 pemain utama akan dapat dimuktamadkan kerana saingan daripada pemain untuk merebut tempat itu sengit," ujar Nafuzi ketika ditemui selepas aksi persahabatan bertemu kelab Madura United kendalian bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC yang menurunkan hanya tiga pemain import dengan merehatkan Sanjar dan Da Sylva beraksi garang selepas berjaya menundukkan kelab dari Indonesia itu 2-0 hasil jaringan pemain meningkat naik, Muhammad Azalinullah Mohd Alias dan pertahanan, Nasrullah Haniff Johan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 10:15 AM