Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain. FOTO NSTP
Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain. FOTO NSTP
Malik Muhamad


TERENGGANU FC tampak serius melakukan persiapan menjelang kancah Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya pada 28 Februari ini apabila mengadakan aksi pramusim kedua di Thailand.

Terengganu akan menentang pasukan Police Tero FC pada 30 Januari diikuti Suphanburi FC (1 Februari) dan terakhir dengan kelab Liga Super China, Tianjin Teda (3 Februari), dengan semua perlawanan berlangsung di Alphine Football Camp Traning Bangkok.

Pada pertengahan Januari lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengharungi aksi pramusim pertama di Lembah Klang membabitkan empat pasukan termasuk Kuala Lumpur, kelab dari Singapura, Hougang United dan pasukan Svay Rieng dari Kemboja.

Pada perlawanan itu skuad Penyu hanya mencatat satu kemenangan menumpaskan Hougang United 4-0 pada aksi terakhir, terdahulu TFC tumpas 3-4 kepada kelab dari Kemboja itu dan 0-1 menentang skuad The City Boys.

Jumaat lalu skuad TFC menguji taringnya dengan kelab dari Indonesia, Madura United kendalian bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan yang berkesudahan skuad Penyu menang 2-0.

PEMAIN Terengganu FC menggayakan jersi baharu musim 2020  di Dataran Batu Buruk, petang tadi.  FOTO Malik Muhamad
PEMAIN Terengganu FC menggayakan jersi baharu musim 2020 di Dataran Batu Buruk, petang tadi. FOTO Malik Muhamad

Nafuzi berkata pada perlawanan persahabatan empat penjuru itu, beliau mempunyai masa untuk menilai prestasi pemainnya yang bakal membarisi kesebelasan utama sebelum bertemu Perak pada aksi pertama di laman sendiri. “Setakat ini saya belum lagi mencuba kelima-lima pemain import bersama pemain tempatan akibat faktor kecederaan kecil, selepas ini kita akan lihat perkembangan semua pemain kerana bagi saya mereka kini bersaing secara sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, itu adalah bagus untuk saya dan pasukan.

“Pada aksi pramusim di Thailand, kita akan dapat menguji dan menilai prestasi mereka sebelum kami dapat putuskan kesebelasan utama pasukan menghadapi saingan Liga Super hujung bulan depan,” kata Nafuzi yang turut dibantu dua pemain legenda Terengganu iaitu Subri Sulong dan Rosdi Talib.

Musim ini TFC menggugurkan 12 bekas pemain tonggaknya dan membawa masuk lapan muka baharu termasuk tiga pemain import iaitu Dominique da Slyva dari Mauritania, Faris Ramli dari Singapura dan Babacar Diallo dari Senegal selain merantai pemain berdarah campuran Malaysia-Scotland, Stuart Wark.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 12:04 PM