Nafuzi yakin kemampuan skuadnya menyerlah musim depan. FOTO NSTP
Nafuzi yakin kemampuan skuadnya menyerlah musim depan. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BELUM sampai sebulan bersama pasukan Terengganu FC (TFC), pemain import baharu skuad itu sudah mula mempamerkan taringnya.

Ini diakui pengendalinya, Nafuzi Zain yang meluahkan nada gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain baharu termasuk dua tonggak importnya Dominique Da Sylva dari Mauritania dan pemain kelahiran Senegal, Babacar Diallo.

Bagaimanapun Nafuzi enggan mendabik dada sebaliknya menyatakan masih terlalu awal untuk beliau meletakkan sasaran-sasaran tertentu.

Namun begitu beliau yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk menyinar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain ketika sesi latihan yang fokus pada latihan fizikal, kecergasan dan membina keserasian.

"Saya lihat para pemain juga sudah mula membentuk keserasian serta kombinasi baik antara mereka walaupun belum 100 peratus," katanya.

Selain pemain kelahiran Senegal dan Mauritania itu, TFC turut mengikat pemain kelahiran Singapura, Faris Ramli selain mengekalkan dua pemain import sedia ada dari England, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan.

Nafuzi berkata beliau juga sudah merangka beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai sesi pemanas badan sebelum bermulanya saingan liga.

"Perlawanan persahabatan pertama bertemu Kelantan pada Jumaat ini dan ada beberapa lagi perlawanan lain akan menyusul selepas itu sebelum masuk musim baharu.

"Melalui perlawanan ini kita harap dapat melihat tahap kecergasan sebenar pemain selain mengenal pasti kelemahan dan kekuatan serta kombinasi antara pemain bagi membentuk pasukan yang benar-benar mantap," ujar Nafuzi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 5:23 PM