TERENGGANU FC (jersi hitam) bakal bertembung dengan kelab Madura United (Liga Indonesia) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini dalam aksi persahabatan pramusim. FOTO Ihsan TFC
TERENGGANU FC (jersi hitam) bakal bertembung dengan kelab Madura United (Liga Indonesia) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini dalam aksi persahabatan pramusim. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


PERTEMBUNGAN pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC) dengan kelab Liga 1 Indonesia, Madura United pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini pasti dinantikan peminat setia skuad Penyu itu.

Selain ingin menyaksikan kelibat tiga awang import baharu TFC iaitu Dominique da Sylva yang beraksi di posisi penyerang, Babacar Diallo (pertahanan) dan Faris Ramli (sayap), bermain di laman sendiri, peminat sudah tentu dahagakan sentuhan bekas pengendali T-Team, Rahmad Darmawan yang kini membimbing skuad Madura.

Pertembungan taktikal jurulatih berpengalaman, Rahmad dan pengendali muda TFC, Nafuzi Zain juga sesuatu yang menarik kerana kedua-dua pengendali itu pernah bernaung di bawah satu bumbung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Rahmad yang berasal dari Metro Lampung, Indonesia pernah menjadi ketua jurulatih skuad utama T-Team pada 2016 dan 2017 sebelum pulang ke negaranya membimbing pasukan Sriwijaya, manakala Nafuzi pula dilantik menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team pada 2016.

Lebih menarik beberapa pemain yang kini berada dalam skuad TFC termasuk tiga pemain pertahanan, Arif Fadzilah Abu Bakar, Kamal Azizi Zabri, Azalinullah Alias, Shahrin Sapien (tengah) dan penjaga gol, Ilham Amirullah Razali pernah beraksi dengan skuad T-Team bawah kendalian Rahmad.

Skuad Madura pula dijangka hadir dengan barisan terbaiknya termasuk bekas pemain tengah FELDA United, Zah Rahan Krangar dan penjaring terbanyaknya musim lalu yang meledak 18 gol daripada 27 perlawanan, Alberto Goncalves da Costa.

Difahamkan Rahmad yang pernah beraksi sebagai pemain import pasukan ATM pada 1992 juga salah seorang jurulatih yang berminat membimbing skuad Penyu itu pada pertengahan musim lalu selepas peletakan jawatan bekas pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim.

“Ya memang perlawanan yang dinanti-nantikan peminat setia skuad Penyu lebih-lebih lagi membabitkan kelab dari luar negara kerana dapat menilai kualiti permainan pasukan TFC dan juga Madura.

“Selain itu pertembungan itu juga menarik kerana melibatkan taktikal bekas pengendali skuad T-Team dengan pengendali pasukan TFC itu,” ujar Mohd Isa Che Ariffin, Presiden Kelab Penyokong TFC.

Selain bertemu TFC, skuad Madura juga bakal menguji kekuatan pasukan Terengganu FC II (TFC II) kendalian Roshadi Wahab pada 26 Januari juga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 8:14 PM