MARIA SHARAPOVA
MARIA SHARAPOVA
AFP

MARIA Sharapova menegaskan hari ini bahawa dia masih memiliki semangat dan motivasi untuk bertanding secara profesional biarpun bergelut dengan masalah bahu yang menyebabkannya tidak dapat beraksi untuk tempoh lama musim ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya dapat beraksi dalam lapan kejohanan sepanjang tahun ini dengan 15 perlawanan keseluruhan.

Juara kejohanan utama lima kali dari Russia itu membuat penampilan pertamanya sejak tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka AS Ogos lalu dalam kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi awal pagi tadi.

Dia bangkit daripada ketinggalan dalam setiap set untuk menewaskan pemain Australia Ajla Tomljanovic 6-4, 7-5.

“Peluang untuk beraksi secara kompetitif adalah sesuatu yang bagus kerana saya tidak banyak beraksi,” kata Maria ketika Kejuaraan Tenis Dunia Mubadala.

“Jelas sekali saya menamatkan perlawanan ini dengan gembira dan dapat kembali beraksi, keadaan akan lebih baik selepas ini.”

Biarpun tidak mendedahkan terlalu banyak mengenai status kecederaan bahunya, dia mengakui semuanya baik selepas perlawanan menentang Ajla, selepas tidak beraksi selama hampir empat bulan.

Dia merancang untuk bertandang ke Australia bulan depan untuk menyertai Terbuka Australia tetapi mengesahkan dia tidak akan menyertai Sukan Olimpik di Tokyo.

Dengan pelbagai persoalan membelenggu karier dan kecederaan bahunya, dia belum pasti bagaimana perjalanan kalendarnya tahun depan.

“Saya fikir ia adalah antara cabaran terbesar untuk tahun baru, iaitu menyusun jadual,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 11:07 AM