NADAL kembali turun ke gelanggang selepas sembuh kecederaan kaki. FOTO AFP
NADAL kembali turun ke gelanggang selepas sembuh kecederaan kaki. FOTO AFP
AFP

Abu Dhabi: Rafael Nadal menganggap kepulangannya secara tidak rasmi ke pertandingan di Abu Dhabi sebagai 'permulaan positif'' walaupun kalah kepada Andy Murray dalam perlawanan pertunjukan berkualiti tinggi semalam.

Dalam pertarungan dua bekas pemain nombor satu dunia itu, Murray menang 6-3, 7-5 dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Dunia Mubadala.

Nadal, yang hanya bermain dua perlawanan dalam tempoh enam bulan selepas kecederaan kaki menghalangnya daripada menyertai Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS), kembali beraksi buat kali pertama sejak Ogos.

"Saya rasa sudah melakukan banyak perkara dengan baik dan begitu juga benda lain, sudah tentu selepas tempoh yang lama, saya perlu pulih semula, beberapa perkara apabila anda berada dalam persaingan ia datang secara automatik.

"Sekarang saya perlu berfikir lebih panjang atau anda tidak mempunyai masa tambahan ini untuk membuat keputusan yang betul.

"Secara umum ia adalah perlawanan yang positif, malah saya mempunyai peluang untuk memenangi set kedua itu," kata Nadal selepas berdepan Murray buat kali pertama sejak 2016.

Juara Grand Slam 20 kali itu berkata dia hanya mula bermain aksi set dalam latihan dua hari lalu.

"Di Mallorca selama lima bulan terakhir, saya tidak bermain langsung. Saya hanya melakukan senaman dan sesuatu yang lebih terkawal untuk mencuba dan membuat evolusi biasa di bahagian kaki," jelas Nadal.

Rabu lalu di Abu Dhabi Nadal berlatih bersama pemain nombor 14 dunia, Denis Shapovalov.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 2:23 PM