Belinda Bencic. FOTO Agensi
Belinda Bencic. FOTO Agensi
Reuters

Sydney: Juara Olimpik, Belinda Bencic tampil dengan permulaan cemerlang apabila menewaskan pemain Brazil, Beatriz Haddad Maia, 6-3, 6-2 untuk mara ke pusingan kedua kejohanan tenis Sydney Klasik sementara seorang lagi pemain pilihan, Ajla Tomljanovic turut mara.

Belinda dari Switzerland yang memburu gelaran kejuaraan pertama Grand Slam di Terbuka Australia pada 17-30 Januari ini bagi menambah koleksi kejuaraan selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, mengatasi Haddad Maia dalam pertandingan di Ken Rosewall Arena.

Pemain nombor 45 dunia, Ajla menewaskan pemain Slovakia, Anna Karolina Schmiedlova 6-2 6-3 dalam aksi pembukaan untuk menempah pertemuan di pusingan kedua berdepan pemain pilihan kelima dari Sepanyol,Paula Badosa.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu mengadakan persediaan bagi Grand Slam pertama tahun ini apabila berdepan pemain pilihan kesembilan, Elena Rybakina, yang menamatkan saingan di tempat kedua selepas tewas kepada Ash Barty kejohanan Antarabangsa Adelaide.

Emma kembali ke Jelajah WTA selepas tersisih kejohanan pemanas badan di Melbourne selepas menjalani pengasingan diri susulan diuji positif Covid-19 bulan lalu.

Dalam kejohanan ATP 250 di gelanggang sama, pemain Argentina, Federico Delbonis tewas kepada Denis Kudla dari AS, 6-3 6-1 sementara Brandon Nakashima memenangi perlawanan berdepan pemain kelayakan dari Republik Czech, Jiri Vesely 7-6(2) 7-6(0).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 1:25 PM