Emma Raducanu (kanan) mendapatkan rawatan daripadan pasukan perubatan di Wimbledon. FOTO Agensi
Emma Raducanu (kanan) mendapatkan rawatan daripadan pasukan perubatan di Wimbledon. FOTO Agensi
Agensi

London: Peserta wildcard, Emma Raducanu dari Britain menarik diri daripada perlawanan pusingan keempat di Wimbledon selepas mengalami kesukaran bernafas sekali gus meleburkan impian pada penampilan pertamanya di kejohanan itu.

Pemain berusia 18 tahun itu bergelut 4-6, 0-3 kepada Ajla Tomljanovic sebelum dia meminta bantuan anggota perubatan.

Dia meninggalkan gelanggang untuk mendapatkan rawatan lanjut, tetapi ia kemudian diumumkan dia tidak akan kembali beraksi.

Ajla pula berdepan rakan senegara dari Australia, Ashleigh Barty di suku akhir.

Lewat petang semalam, Wimbledon mengesahkan bahawa Emma menarik diri daripada perlawanan kerana "sukar bernafas".

"Saya sangat bersimpati dengan nasibnya, saya harap dia dapat menamatkan perlawanan. Saya harapkan yang terbaik untuknya," kata Ajla.

Emma yang berada di ranking 338 dunia sebelum kejohanan, sudah tewas pada persaingan sengit di set pertama dan dia memberi tentangan di set kedua sebelum mula menunjukkan keadaan yang tidak begitu baik apabila kerap meletakkan tangannya di perut dan kelihatan sukar bernafas.

Ketika Ajla mendahului 3-0, Emma memanggil anggota perubatan dan kelihatan beberapa anggota perubatan memeriksa keadaannya.

Mereka kemudian segera membawanya keluar dari gelanggang, dan selepas beberapa minit, pengumuman dibuat bahawa Emma tidak cergas untuk meneruskan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 9:29 PM