MOURINHO raih kemenangan ketiga bersama Spurs. FOTO/AFP
MOURINHO raih kemenangan ketiga bersama Spurs. FOTO/AFP
AFP

PERMULAAN sempurna Jose Mourinho selaku pengurus Tottenham melebar ke perlawanan ketiga ketika Spurs menewaskan Bournemouth 3-2, dibantu jaringan berganda Dele Alli awal pagi ini.

Jurulatih kelahiran Portugal itu menjadikan misi memulihkan prestasi Alli sebagai keutamannya apabila mengambil alih pasukan daripada Mauricio Pochettino minggu lalu dan ia mula memberi faedah apabila pemain England itu kini menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan di bawah Mourinho.

Moussa Sissoko pula menjaringkan gol pertamanya selepas dua tahun dengan penuh berjaya menerusi sepakan lambung hasil hantaran Son Heung-min untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum dua gol daripada pemain gantian Harry Wilson memberikan harapan buat Bournemouth.

Kemenangan berturut-turut Spurs buat kali pertama musim ini meletakkan finalis Liga Juara-Juara itu di tangga kelima dan enam mata menghampiri kelompok empat teratas selepas Chelsea dan Manchester City tewas kepada West Ham dan Newcastle masing-masing malam tadi.

Biarpun menang tiga perlawanan berturut-turut di bawah kendalian Mourinho, Spurs bolos dua kali dalam setiap perlawanan dan kepincangan di bahagian pertahanan masih dirasai ketika Bournemouth mudah memecah belahkan bahagian tengah tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 1:42 AM