Pemain Tottenham, Dele Alli. FOTO Agensi
Pemain Tottenham, Dele Alli. FOTO Agensi
Agensi

London: Paris St-Germain bersedia melakukan sekali lagi percubaan untuk menandatangani bintang Tottenham, Dele Alli sebagai pemain pinjaman pada Januari ini.

Gergasi Perancis itu cuba menandatangani Alli, 24, pada musim panas lalu tetapi pengerusi Tottenham, Daniel Levy tidak bersetuju dengan perjanjian itu.

Masa depan pemain tengah Spurs itu dilihat tidak menentu dengan pemain kebangsaan England berkenaan hanya tampil beraksi dalam satu perlawanan dengan skuad utama pada saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dia tidak berada dalam senarai pasukan perlawanan Liga Perdana sejak menang 6-1 di Manchester United pada 4 Oktober lalu.

Alli juga tidak digunakan sebagai pemain gantian selepas pasukan itu mencatat kemenangan ke atas Royal Antwerp pada saingan Liga Europa semalam.

Di mana pengurusnya Jose Mourinho berkata adalah 'sukar' untuk menggembirakan setiap pemain.

Alli yang menjaringkan 64 gol dan 56 bantuan gol dalam 230 penampilan bersama Spurs, diketahui sangat kecewa dengan situasi itu.

Sementara itu, Mourinho yang dianugerahkan Pengurus Liga Perdana Inggeris Terbaik Bulanan bagi November menganggap ia adalah hadiah sepasukan, bukan individu.

Pengendali Portugal itu menerima anugerah berkenaan selepas memacu Spurs memenangi tiga daripada empat perlawanan liga, hanya kehilangan mata ketika seri tanpa jaringan dengan Chelsea di Stamford Bridge.

Spurs kembali menemui rentak kemenangan dengan mengatasi Arsenal dan menghuni tangga teratas liga, selepas merekodkan 10 perlawanan tanpa kalah sejak tewas kepada Everton dalam aksi pembukaan.

"Bagi saya ia adalah untuk pasukan terbaik bulan ini. Ia mengenai pasukan. Tanpa kerjasama berpasukan ini kejayaan tidak akan hadir."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 1:09 PM