KANE ketika menjaringkan gol untuk Spurs. FOTO/AFP
KANE ketika menjaringkan gol untuk Spurs. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Tottenham Hotspur hampir mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut selepas jaringan Dele Alli dan Harry Kane menyaksikan mereka menang 2-0 ke atas Watford 2-0 di Wembley, awal pagi tadi.

Kemenangan pertama daripada empat perlawanan mengembalikan kelebihan lima mata Spurs ke atas pasukan tangga kelima, Chelsea berbaki tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Tetapi, kekalahan ke-11 daripada 12 perlawanan di tempat lawan menyaksikan Watford memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk secara matematik terselamat daripada penyingkiran.

Pelawat juga terpaksa pulang dengan kekecewaan apabila tuan rumah jelas tidak bermain dengan begitu baik selepas melepaskan deretan peluang tatkala perlawanan tampak seimbang.

Permulaan baik Watford terhapus pada minit ke-16 apabila penjaga golnya, Orestis Karnezis melakukan kesilapan apabila bola yang ditangkapnya terlepas daripada dakapan.

Ia pantas dimanfaatkan Christian Eriksen yang kemudian bergandingan dengan Alli yang mudah menolak mudah masuk gol keempatnya dalam lima perlawanan.

Watford memperoleh banyak peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat tetapi cubaan mereka dinafikan penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang beraksi cemerlang.

Penjaga gol Perancis itu melakukan beberapa siri kesilapan sejak beberapa minggu lalu tetapi aksinya ketika menentang Watford boleh dipuji termasuk ketika menghalang peluang terbaik pelawat daripada Andre Grey.

Selepas menyelamatkan rembatan Abdoulaye Doucoure, kapten Spurs itu kemudian merebahkan badannya untuk menyelamatkan cubaan Jose Holebas.

Begitupun, di sebalik persembahan kurang memuaskan, skuad kendalian Mauricio Pochettino menambah kelebihan tiga minit selepas babak kedua bermula.

Selepas tergelincir ketika mahu menerima hantaran Son Heung-min di depan pintu gol, Kane kemudian bangkit dengan pantas untuk menyambut satu lagi hantaran daripada Kieran Trippier untuk jaringan ke-38 miliknya musim ini.

Pelawat memiliki beberapa lagi peluang untuk menjaringkan gol selepas itu termasuk daripada Richarlison tetapi tidak berjaya menerjah gawang Spurs sekali gus gagal menjaringkan gol dalam lapan perlawanan di gelanggang lawan berturut-turut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 6:36 AM