MOHD Firdaus Mohamed.
MOHD Firdaus Mohamed.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Piala Presiden dan Piala Belia bakal membuka tirainya pada 21 dan 27 April ini sekali gus merancakkan lagi arena bola sepak negara khususnya di peringkat pembangunan.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, beliau menjangkakan lebih ramai 'ubi muda' dapat dicungkil daripada dua saingan itu musim ini.

Begitupun, Firdaus berharap setiap pasukan yang bertanding tidak terlalu memberi tumpuan kepada pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) atau Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) serta pemain Sekolah Sukan semata-mata, sebaliknya perlu mengintai bakat-bakat di daerah mahupun kampung-kampung untuk diketengahkan.

"Saya meletakkan harapan besar untuk saingan Piala Presiden dan Piala Belia kali ini agar ramai lagi bakat baharu berjaya dikesan.

"Sebenarnya ramai lagi pemain muda yang ada potensi dan boleh diberi peluang. Zaman dulu pun, ramai pemain hebat dalam skuad Harimau Malaya datangnya dari pelbagai negeri dan daerah.

"Justeru saya harap kaedah sama dapat digunakan oleh pasukan dan jangan terlalu bergantung pemain dari Sekolah Sukan kerana masih banyak lagi pemain di luar sana yang boleh diketengahkan.

"Pergilah kepelusuk negeri dan daerah untuk cari bakat baharu. Kalau tak diberi peluang, macam mana mereka nak tunjukkan kemampuan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, ramai pemain-pemain ternama skuad Harimau Malaya pada era 70an, 80an dan 90an berjaya dikesan daripada liga-liga kecil di daerah, komuniti atau kampung-kampung.

Antara nama-nama yang tidak pernah didengari namun secara tiba-tiba muncul mewarnai arena bola sepak negara seperti pemain di pendalaman Sarawak antaranya Ramos Sari, Gilbert Cassidy Gawing; bekas pemain Selangor dan JDT, Amri Yahyah dan ayam tambatan Red Giants, Faisal Halim.

Piala Belia adalah platform untuk pemain di bawah 19 (B-19) manakala Piala Presiden adalah untuk pemain di B-21. Kedua-dua kejohanan ini memberi peluang kepada pemain muda untuk mempertunjukkan bakat mereka dan membina pengalaman dalam persaingan bola sepak yang sengit.

Pasukan-pasukan yang mengesahkan slot ke kejohanan ini akan bersaing untuk meraih kejuaraan dan menunjukkan potensi mereka sebagai bakat masa depan bola sepak Malaysia.

Kejohanan ini juga menjadi medan pembangunan dan pengukuhan infrastruktur pembangunan bola sepak muda negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 8:19 PM