RAGAM penyokong England menjelang final Euro 2020 di Wembley.
RAGAM penyokong England menjelang final Euro 2020 di Wembley.
Agensi

London: Lebih daripada 1,300 penyokong bola sepak di England dan Wales diarah menyerahkan pasport bagi mengelakkan mereka menyaksikan Piala Dunia di Qatar.

Susulan peraturan baharu berkuatkuasa 14 Oktober, Pejabat Home Office berkata ia juga akan menyekat mana-mana penyokong yang terbabit dengan keganasan dan mereka yang berpotensi melakukannya daripada menaiki penerbangan ke Doha.

"Kami tidak akan bertoleransi dengan golongan minoriti ini yang boleh menjejaskan imej negara di kejohanan terbesar dunia," kata setiausaha terbabit, Suella Braverman semalam.

Piala Dunia berlangsung daripada 20 November sehingga 18 Disember.

"Sejumlah 1,308 penyokong yang dikenakan 'Perintah Larangan Bolasepak' diarah menyerahkan pasport UK mereka kepada polis," kata Home Office.

Mereka yang gagal mematuhi arahan atau cuba mengunjungi Qatar berdepan hukuman penjara enam bulan dan denda tanpa had.

Perintah Larangan Bolasepak adalah arahan mahkamah bagi menghalang penyokong menghadiri perlawanan bola sepak dan dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah berkaitan keganasan dengan sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 10:44 AM