FALIQ (paling kiri) bersama pemenang dalam kejohanan GUC. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan
FALIQ (paling kiri) bersama pemenang dalam kejohanan GUC. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Lebih 800 pelatih bola sepak berumur lapan hingga 12 tahun daripada 56 pasukan seluruh negara beraksi dalam satu kejohanan bola sepak peringkat umur di Seremban dan Kuala Pilah, baru-baru ini.

Piala Perpaduan Akar Umbi atau 'Grassroots Unity Cup' (GUC) anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dan Liga Akar Umbi Malaysia (MGL) adalah program usahasama bagi mencari bakat baharu bola sepak.

Menurut Setiausaha Eksekutif PBNS, Faliq Firdaus, penganjuran kejohanan peringkat umur di tiga lokasi iaitu Padang Sintetik PBNS Rahang, Arena IRC Sendayan dan SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah adalah langkah proaktif PBNS dalam mencungkil lebih ramai bakat di peringkat akar umbi.

"PBNS komited dalam memastikan platform bagi mencungkil bakat-bakat baharu sentiasa tersedia buat semua pasukan di negeri ini secara khususnya. Malah, penganjuran kali pertama ini sudah menerima pendaftaran dari sembilan negeri termasuk Negeri Sembilan," katanya.

Penganjuran GUC juga adalah hasrat Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang mahukan PBNS memainkan peranan secara total dalam membangunkan sukan bola sepak di seluruh pelusuk Negeri Sembilan.

"Program seumpama ini adalah manifestasi visi Presiden PBNS yang mahukan bola sepak dipromosikan lebih hebat di luar Seremban. Oleh itu, pemilihan daerah Kuala Pilah sebagai lokasi kejohanan langkah pertama kami.

"Selepas ini, lebih banyak program pencarian bakat sebegini akan diadakan di luar daerah Seremban," ujar Faliq.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan pasukan Gimau TPFA (Melaka) mengungguli kategori bawah 8 (B-8) tahun, WM Junior (Kuala Lumpur) menjuarai kategori B-10 dan pasukan tuan rumah, Akademi Tunas Seremban Viper bergelar juara kategori B-12.

Sementara itu, Hari Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan anjuran PBNS dijadualkan akan berlangsung di Tampin pada November manakala program bola sepak pantai pula pada Disember di Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 3:26 PM