SSN Melaka ceria muncul juara Piala Datin Seri Utama Munira 2022 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka United
SSN Melaka ceria muncul juara Piala Datin Seri Utama Munira 2022 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Negeri Melaka (SSN), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota muncul juara Piala Datin Seri Munira 2022 selepas menewaskan skuad No -T Girls 4-2 pada aksi final di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Keputusan terbabit membolehkan SSNM meraih piala pusingan, pingat dan wang tunai RM3,000 sementara naib juara turut ceria membawa pulang wang tunai RM2,000 dan pingat.

AG Tigers dan NFDP Ladies pula membawa pulang hadiah sagu hati RM1,000 beserta pingat dengan hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Datin Seri Utama Munira Yusop yang juga isteri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan negeri, VP Shanmugam, Exco Hal Ehwal Wanita negeri Datuk Kalsom Nordin serta Exco Wanita dan Perubatan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Kejohanan membabitkan empat pasukan itu bermula sejak 5 Mac lalu berlangsung secara liga empat pasukan dengan dua pasukan terbaik mara ke perlawanan akhir.

Lebih menarik lebih 1,000 orang menyaksikan perlawanan berkenaan sekali gus merancakkan sambutan terhadap sukan terbabit dalam penggiat bola sepak wanita.

Siti Faidul Maisarah yang juga Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kejohanan julung kali itu bukan sekadar untuk mencungkil bakat , malah menyemarakkan minat dalam kalangan wanita.

Katanya, ia berikutan liga berkenaan dianjurkan dalam tempoh yang singkat iaitu dalam sebulan sahaja.

Sementara itu, Munira berkata, Melaka akan bercadang menganjurkan kejohanan berkenaan pada edisi akan datang dengan diadili pengadil wanita.

Menurutnya, ia masih di peringkat perbincangan dan hanya akan dilaksanakan selepas dibuat pertimbangan oleh jawatankuasa bola sepak wanita Melaka.

"Insya-Allah, kita akan buat pertimbangan untuk meneruskan kejohanan ini di masa akan datang serta sekiranya ada edisi akan datang kita akan lengkapkan dengan pengadil wanita.

"Namun hal itu akan dipertimbangkan. Apapun terima kasih pihak MUSA yang tampil mencadangkan kejohanan berkenaan. Ia juga pentas pemain wanita mengetengahkan bakat mereka selain memberi ruang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 5:42 PM